Monday, August 31, 2009

Kelebihan Solat Terawih 2

0 comments
Assalamualaikum w.b.t…..

Alhamdulillah,syukur tidak terhingga kepada Allah s.w.t yang masih lagi memberikan kita semua nikmat ISLAM dan IMAN untuk kita sama-sama mencari keredhaan-NYA dalam menempuh bulan yang penuh kemuliaan ini dengan kesabaran dan keikhlasan.

Syukur juga dipanjatkan kepada Ilahi kerana memberi ana peluang untuk meneruskan penulisan ini dalam sama-sama kita mengetahui tentang kelebihan solat terawih mengikut malam bermulalah dari malam pertama Ramadhan hingga ke akhir Ramadhan.

Sebelum ini ana menceritakan tentang kelebihan solat terawih pada malam pertama hingga ke-10 ramadhan.Pada ruangan ini ana akan menceritakan pula tentang kelebihan solat terawih bermula malam ke-11 hingga malam ke 20 ramadhan,insyaALLAH.

Malam ke-11:”Dia akan keluar dari dunia(meninggal dunia) seperti hari mula dia dilahirkan dari kandungan ibunya”.

Malam ke-12:”Dihari kiamat nanti dia datang dengan wajah yang cantik seperti bulan purnama”.

Malam ke-13:”Pada hari kiamat nanti dia akan selamat dan aman dari segala tanggung jawab”.

Malam ke-14:”Para malaikat datang memberikan persaksian bahawa dia sesungguhnya telah megerjakan solat terawih,Allah s.w.t tidak akan menghisabnya di hari kiamat kelak”.

Malam ke-15:”Para malaikat dan para pembawa ‘Arsy dan Kursi memohon supaya menambahkan baginya pahala kebaikkan”.

Malam ke-16:”Allah s.w.t mencatatkan bahawa dia bebas dari neraka dan diizinkan masuk syurga”.

Malam ke-17:”Dia diberikan pahala sebanyak pahala para nabi”.

Malam ke-18:”Salah seorang malaikat akan berkata :”wahai hamba Allah,sesungguhnya Allah s.w.t telah redha kepadamu dan kepada kedua orang tuamu”.

Malam ke-19:”Allah s.w.t mengangkat darjatnya ke syurga Jannatul Firdaus”.

Malam ke-20:”Dia diberi pahala sebanyak pahala para syuhada dan salihin”.

InsyaALLAH malam berikutnya ana akan sambung dalam ruangan terakhir nanti,semoga
kita semua mendapat rahmat daripada-NYA di dunia dan di akhirat kelak.

Semoga malam yang penuh keampunan ini juga kita semua masih lagi dan mampu untuk
menunaikan ibadat puasa dan terawih.InsyaALLAH ganjaran dari-NYA akan tiba keatas setiap apa yang kita telah dan akan lakukan nanti tidak kiralah baik atau buruk.Bersama-samalah kita berpesan-pesan kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran yang semakin parah ini..

Akhir sekali ana doakan semoga kita semua sentiasa berada di bawah payung Rahmat-NYA dan sentiasa mendapat Hidayah dan Petunjuk dalam sama-sama kita melayari bahtera untuk “Mencari Erti Hidup” insyaALLAH..

Wallahu a’lam…..

Friday, August 28, 2009

Terlepas Sahur

0 comments
Alhamdulillah,syukur kita panjatkan kepada ilahi kerana tahun ini kita masih lagi diberi ruang untuk bernafas untuk kita sama-sama meningkatkan amalan dan ketaqwaan kepada-Nya.Selawat dan salam keatas Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w,ahli keluarga ,sahabat baginda serta para pejuang Allah s.w.t.

Kali ini ana ingin berkongsi tentang pengalaman ana semasa menunaikan ibadat puasa di Mesir.Ini merupakan tahun pertama ana menunaikan ibadat puasa di Negara orang tanpa keluarga tersayang.Kesedihan jelas terasa tanpa insan tersayang lebih-lebih lagi ini adalah pertama kalinya terpisah jauh dari keluarga.

Kemeriahan puasa di sini memang x sama jika nak dibandingkan dengan tempat kita(mesia),masyarakat disini lebih meraikan bulan Ramadhan,apa tidaknya masuk je bulan ramadhan semua rumah-rumah bercahaya,jalan-jalan dihiasi bermacam-macam hiasan jauh berbeza dengan tempat kita.Hanya malam raya je nampak meriah.
Tapi pengalaman pertama yang ana dan sahabat-sahabat tidak akan lupakan ialah semasa bersahur.Hari pertama mcm biasa la,ok je tapi bila masuk hari kedua tu ada la citer skit.Nak dijadikan cerita ana dan sahabat-sahabat bangun la untuk siapkan juadah bersahur ni.Kami semua bangun kul 2.30pg.Abe Jani pun bukan main sedap dia masak arini,gulai ayam bujang la katakana..hehehe

Dalam duk masak tuk kita orang duk berbual-bual la,tiba-tiba sahabat ana tertanya pukul berapa subuh ni?Biasanya kul 4.50pg tapi ada yang cakap kul 3.50pg plak.Yang cakap kul 4.50 pg ni termasuk la ana sendiri.Masing-masing x mahu mengalah dengan hujah masing-masing.Nak call tanya abang lama pun Abe Jani ada dah,lagipun ni tahun ke dua dia puasa kat sini,mesti la dah arif waktu kat mesir ni.

Bincang-bincang semua sepakat cakap subuh kul 4.50pg,masa tu jam menunjukkan kul 3.45pg jadi lambat lagi la nak habis waktu sahur.Lauk pun x masak lagi,sempat lagi la sahur ni..Duduk dalam 15 minit lauk pun masak la,semua dah x sabar nak sahur ni masing-masing duk menghadap nasi.Bila buat keluar je lauk tiba-tiba dengan tidak di sangka-sangkakan azan subuh pun berkumandang.Terbeliak biji mata semua,nak jamah makanan pun x sempat apakan nak minum air.Tgok je la lauk ngan nasi tu,masa tu macam-macam rasa.Nak marah pun ada,nak suka pun ada…Ape lagi terpaksa la simpan balik makanan tu.hehehe..

Nasib baik la masa duk masak tu ana sempat makan 2 biji kurma,jd ok la skit dapat gak makan,yang kesiannye sahabat-sahabat ana ni time duk menghadap makanan tiba-tiba da azan.Nak buat macam mana xde rezeki,tgok pun da ok.

Ingatkan kami je yang kena macam ni,rupanya ramai lagi yang x dapat sahur ni.Diorang pun xtau kena tolak 1 jam dari waktu biasa..xpe la,tp Alhamdulillah aritu smua dapat puasa penuh,nasib baik la xde orang usik nasi kat dapur 2..hehehe..

Ni la pengalaman ana ngan sahabat-sahabat pertama kali puasa kat mesir,insyaALLAH lepas ni xkan kena dah.Tersiksa nak tungu waktu berbuka ni..

P/S:kapada budak-budak baru ni kalau xtau waktu tu Tanya la senior-senior ni,diorang lebih arif,jangan jadi macam kami plak..hehehe…salam ramadhan..

Thursday, August 27, 2009

Kelebihan Solat Terawih 1

0 comments
Assalamualaikum w.b.t. ana ucapkan kepada sahabat semua,allhamdulillah sedar tidak sedar sudah seminggu kita semua menunaikan ibadat puasa pada tahun ini,cepat sunguh waktu berlalu.Ana harap kita semua dapat menghabiskan puasa pada tahun ini dengan sempurna dan ikhlas kerana-Nya insyaALLAH.Allhamdulillah juga diucapkan kehadrat ilahi kerana memberi ana kekuatan untuk menunaikan ibadat puasa tahun ini tanpa keluarga tersayang,tahun pertama berpuasa dirantauan.Dibulan yang mulia ini,rasanya sempat lagi untuk ana berkongsi tentang kelebihan solat terawih kepada kita dari hari pertama Ramadhan hinggalah malam terakhirnya.

Ali bin Abi Talib r.a berkata bahawa sewaktu Rasullullah s.a.w ditanya tentang kelebihan solat terawih dalam bulan Ramadhan yang mulia ini,maka Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Malam pertama Ramadhan:”Orang mukmin itu terlepas dari dosanya pada permulaan malam(terawih) bersih seperti lahirnya dari kandungan ibu”.

Malam ke-2 Ramadhan :”Dia dan juga orang tuanya yang mukmin diampuni oleh Allah s.w.t”.

Malam ke-3 Ramadhan:”Salah satu malaikat akan mengundang dari bawah Arsy’ mulailah bekerja maka Allah mengampuni dosanya yang telah lalu”.

Malam ke-4 Ramadhan:”Diberinya pahala sebanyak pahala membaca Taurat,Injil,Zabur dan Furqan/Quran”.

Malam ke-5 Ramadhan:”Allah s.w.t memberikan pahala kepadanya seperti pahala orang yang mengerjakan solat di Masjidil Haram,di Masjidil Madinah dan di Masjidil Al-Aqsa”.

Malam ke-6 Ramadhan:”Allah s.w.t memberikan pahala kepadanya seperti pahala orang yang melakukan tawaf di Baitul Ma’mur dan memohon keampunan pula baginya semua batu-batu dan tanah keras”.

Malam ke-7 Ramadhan:”Seakan dia telah bertemu dengan Nabi Musa a.s dan membantu beliau memerangi Firaun dan Haman”.

Malam ke-8 Ramadhan:”Allah s.w.t memberikan kepadanya sebagaimana yang telah diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s”.

Malam ke-9 Ramadhan:”Seakan-akan dia telah mengerjakan ibadahseperti ibadah Rasullullah s.a.w”.

Malam ke-10 Ramadhan:”Allah s.w.t memberikan rezeki kepadanya serta kebaikan di dunia dan akhirat”.

InsyaALLAH ana akan sambung kelebihan-kelebihan solat terawih pada malam-malam Ramadhan ini setelah kita menghabiskan awal ramadhan yang tinggal beberapa hari lagi.Moga kita semua mendapat”RAHMAT” daripada Allah s.w.t ,sebagaimana yang telah kita sedia maklum Ramadhan sendiri terbahagi kepada tiga,awal nya merupakan ‘Rahmat,pertengahannya adalah “Keampunan” dan akhirnya merupakan “Bebas daripada api neraka”.

Sekali lagi segala puji daripada Allah ana ucapkan kerana telah memberi ana ruang dan masa untung menyiapkan penulisan ini sebagai tatapan perkongsian untuk kita semua.

Wallahu a’lam….

Wednesday, August 26, 2009

Erti Persahabatan

0 comments

Tahun depan genap 10 tahun persahabatan kita.Dan tanpa kita sedari telah banyak memori-memori indah yang telah kita rasai bersama dalam menuju redha-NYA.

Hari ini hari Rabu,aku akan berangkat ke Kaherah kerana ada urusan dan tanggungjawap yang aku perlu laksanakan.Sebelum pergi aku dan sahabatku yang tercinta sempat bergurau senda kerana aku terpaksa maninggalkannya.Memang kami berdua tidak pernah berenggang,dimana dia pergi,di situlah aku ada.Bermula dari sekolah menengah lagi,tidak hairanlah jika ramai yang cemburukan keakraban kami.Masakan tidak,persahabatan yang kami bina ini hampir mencecah usia ke-10 tahun dan berbagai-bagai memori indah,suka dan duka,hilau tawa telah kami layari bersama walaupun bagi orang lain ia bagaikan tiada apa-apa erti,tetapi bagiku ia terselit 1001 kenangan yang tidak mampu dinilai betapa berharganya nilai sebuah persahabatan,lebih-lebih lagi jika dibina berlandaskan Islam dan kerana Allah dan Rasulnya.Aku teringat sebuah hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik r.a pembantu Rasullullah s.a.w katanya:
“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri”.[Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim]

Hadis ini menjadi pegangan kepada kami serta menjadi pengajaran kepadaku dalam melayari bahtera persahabatan.Sebelum ini aku tidak pernah mengenal erti sebuah persahabatan yang sebenar sehinggalah suatu hari aku dikejutkan dengan berita yang menyedihkan.

Tanggal 6-8-2009,hari Khamis,merupakan hari yang mungkin aku tidak dapat lupakan.Pukul 5 petang,aku menerima berita mengejutkan apabila seorang sahabatku dimasukkan ke wad dan mungkin akan di bedah akibat penyakit apendiks yang semakin parah.Saat mula-mula aku mendengarkan berita ini,tubuhku menjadi kaku,lidahku kelu tanpa bicara dan ketika inilah mutiara-mutiara putih membasahi pipiku.Masakan tidak sebelum aku meninggalkannya,dia sihat-sihat sahaja dan kami sempat bergurau senda,ini menjadi lumrah sepanjang kami bersama lagipun aku tidak pernah melihat tanda-tanda yang menunjukkan dia menghidapi penyakit ini.

Aku terpaksa pulang ke Dumyat semula walaupun masih penat kerana jika nak diikutkan tidak sampai sehari aku berada di Kaherah,penat perjalanan masih terasa tetapi aku menggagahkan diri untuk pulang menemani sahabatku.Bayangkan bagaiman perasaan kita jika disaat getir berperang dengan maut sendirian tanpa keluarga tercinta,tanpa teman disisi,sukar dibayangkan bukan?.Aku berterima kasih kepada Dewan Perwakilan Mahasiswa Dumyat(DPMD) yang menguruskan kemasukan sahabatku ke wad.Walaubagaimanapun,kegelisahan jelas terpancar pada wajahku,aku bagaikan hilang arah dan menjadi tidak senang duduk memikirkan tentang keadaan sahabatku.Kadang-kadang rasa bersalah bermain di benak fikiranku,kerana disaat dia memerlukan sokonganku,di saat itulah aku meninggalkannya.

Sepanjang 5 jam perjalanan,bermacam-macam doa telah aku pohon,dan telah banyak pesanan ringkas(sms) yang telah aku sebarkan kepada sahabat-sahabatku yang lain supaya mendoakan keselamatan sahabat kami yang tercinta ini sepanjang tempoh pembedahan dilakukan.Sepanjang perjalanan ini jugalah aku menerima hampir berpuluh-puluh panggilan yang memberikan semangat kepadaku,mendoakan sahabatku kerana mereka juga terkejut mendengarkan berita ini,Mungkin inilah yang dikatakan dalam hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang,kecintaan dan lemah lembut mereka seperti satu badan.Apabila satu anggota badan mengadu kesakitan,maka seluruh anggota turut menanggung kesakitan dan sama-sama berjaga malam”.[Hadis ini telah dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.]

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua ahli Keluarga Pelajar Kelantan Mesir(KPKM) yang telah menunaikan solat hajat sebelum dan selepas pembedahan sahabat kami ini.Jasa kalian tidak mampu dibalas dengan kata-kata dan wang ringgit dan hanya Allah yang layak membalasnya “disana” nanti,InsyaAllah..

Sebulan telah berlalu,Alhamdulillah dengan izin Allah sahabat kami akhirnya sembuh,walaupun masih lagi tidak mampu melakukan kerja-kerja berat tetapi sudah mampu melemparkan senyuman gembira kepada kami,celotehnya yang tidak henti-henti menghilangkan keresahan kami semua.

Syukur tidak terhingga kepada Allah yang telah menyedarkan kami,jika tidak kerana musibah yang telah diturunkan ini kita masih lagi tidak menyedari betapa bernilainya seorang sahabat.Jagalah sahabat kita sebaik mungkin sebagaimana kita menjaga barang berharga yang kita sayangi sebaik-baiknya.Sahabat sejati memang sukar dicari,ia bagaikan sebutir permata dalam pecahan kaca,berhati-hati mendapatkannya,tersilap ambil berdarah jari,kalau dapat jagalah ia seperti nyawa kita,gilaplah ia agar sentiasa bercahaya.InsyaALLAH kita akan beroleh manfaatnya.

Nukilan khas untuk sahabatku yang dicintai,Mohd Fahzam Mohd Ghazi,moga dirimu cepat sembuh dan sentiasa berada dibawah payung Rahmat-Nya.InsyaALLAH….

Friday, August 21, 2009

Menjadi atau Mencari???

0 comments
Mencari Solehah atau Menjadi Soleh? Saya sering membaca kisah kehidupan orang yang ingin menghabiskan zaman bujangnya, namun gagal meninggalkan kepompong kebujangannya itu oleh kerana dilanda masalah pilihan jodoh. Mereka mencuba sedaya upaya sehingga berhabis ratusan ringgit mengupah tok bomoh profesional berataraf antarabangsa namun jodoh tidak kunjung tiba.
Pada waktu itu mereka mula mempersoal hakikat takdir Allah. Saya bukanlah agen pencari jodoh untuk anda pada post kali ini, cuma ketika berada di tahun akhir pengajian di sini saya selalu dipaparkan dengan masalah kegagalan mencari jodoh yang meragut ketenangan jiwa saya. Memang perasaan cinta agak sukar untuk diterjemahkan. Ada orang suka itu dan ini, pendek kata ada pelbagai rasa dalam satu masakan yang tak mampu diolah dalam bahasa kamus.

Susahnya mencari jodoh! Jika ditanya, anda mahu mencari jodoh yang bagaimana? Tentunya akan dijawab:

“Dia yang paling baik dalam akhlak dan budinya”

“Pandai jaga hati”

Baik dari segi itu dan ini. Sebenarnya jika anda cuba bertanya kepada penari-penari kelab dangdut, mereka juga akan menjawab dengan jawapan yang sama. Tiada wanita yang suka dibelasah oleh suaminya setiap hari walaupun suaminya itu bukan bekas ahli tinju yang mahir. Sudah fitrah manusia mencari yang elok dan tidak busuk. Cuma bayangan kefahaman mereka disebalik makna perkataan ‘baik’ itu yang berbeza.

Bagi mereka, orang yang selalu tersenyum itu adalah antara orang yang terbaik walaupun berasal dari kumpulan peninggal solat yang terkenal. Adapun kebaikan itu sebenarnya hanya terzahir bila kita mentaati perintah Allah. Bagaimanapun setiap kita mendamba cinta dari seorang kekasih yang sangat sempurna sifat keinsanannya.

Sifat sempurna yang mampu menutup lubang-lubang kecacatan walaupun setengah meter. Banyak sekali mereka yang telah lanjut usia gagal untuk mendirikan rumah tangga kerana memikirkan perkara ini. Yang ada di hati mereka:

“Betulkah dia ini baik atau sekadar berlakon.”

“Ooh mungkin dia cuba bantu aku sebab hendak mengambil hati.”

“Emm pakai tudung dan cuba-cuba buat solehah agaknya itu.”

Akhirnya, semua sifat orang habis diselidiki tanpa memikirkan sifat diri sendiri. Kita yang tidak punya sifat dan perwatakan yang 'baik' cuba untuk menilik mereka yang 'paling baik' untuk dijadikan pasangan hidup. Seboleh mungkin kita mahukan seseorang yang punya sifat seperti malaikat. Sedangkan kita antara orang yang selalu bermuamalah dengan syaitan setiap hari untuk melakukan maksiat. Ini tidak adil! Bagaimana sifat syaitan dan malaikat boleh bersatu?

Akhirnya setiap detik berganti masa yang lama tidak juga mendapat pasangan yang secucuk. Lamunan untuk mendapat itu dan ini tidak terzahir di depan mata oleh kerana sentiasa melihat yang negatif pada orang lain. Jadilah yang soleh, anda akan mendapat yang solehah! Cuba selidiki diri sebelum mencari orang yang kita bayangkan sifatnya dibenak kita. Adakah sifat yang berada dibenak sendiri itu, wujud dalam diri kita?

Atau dalam erti kata yang lain, jika ingin mendapatkan seorang yang solehah, maka kita juga perlulah menjadi yang soleh. Kalau ingin mendapat jodoh yang soleh, kita perlulah solehah. Dari sini kita dapat fahami bahawa menjadi sesuatu itu lebih mudah dari mencari sesuatu. Kita setia mencari pasangan yang berperwatakan seorang yang soleh dan solehah, sepatutnya kita sendiri perlu punya perwatakan itu.

Janganlah anda menyalah orang lain jika pinangan anda ditolak. Siapakah yang ingin mendapat pasangan punya 'kakinya berbotol' dan peninggal setia solat fardhu? Sememangnya dijanjikan Allah setiap yang baik itu kepunyaan yang baik. Dan yang buruk itu akan mendapat yang buruk. Penzina yang setiap saat bergelumang dengan dosa tidak akan mampu untuk mendapat pasangan seorang lelaki yang soleh.

Ini adalah realiti. “Jangan cuba masuk ke dalam istana untuk bertemu dengan puteri raja dalam keadaan pakaian anda compang camping”. Oleh itu jadilah yang terbaik untuk diri sendiri selain ingin menjadikan orang lain sebagai yang terbaik untuk diri kita. Belajarlah menjadi sifat orang yang kita ingini. Kelak kita sebenarnya yang akan dicari. Bukan kita yang mencari.

Thursday, August 20, 2009

Salam Ramadhan

0 comments
TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki- Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".

Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba- Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya" .

Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".

Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".

Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.
Moga kita semua dapat megerjakan ibadat pada bulan Ramadhan kali ini dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah,kerana mungkin ini adalah Ramadhan yang terakhir bagi kita.Jadi sama-samalah kita merebut peluang ini,insyaallah.
SALAM KEMAAFAN,SALAM RAMADHAN,SALAM LEBARAN.

Tuesday, August 18, 2009

Merdekakah kita?

0 comments
Sedar tidak sedar kita semakin hampir menempuhi hari kemerdekaan yang ke-52,rata-rata rakyat Malaysia memang menantikan saat ini.Dan telah banyak program-program yang telah dan akan diadakan sempena sambutan tahunan ini serta menjadi lumrah kepada masyarakat dalam meraikan hari yang penuh bersejarah ini.Tetapi hakikatnya,MERDEKAKAH KITA?
Mungkin kita tidak merasa keperitan yang dihadapi tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang sebenar seperti As-syahid Tuan Guru Haji Hasan Bin Munas atau lebih dikenali Tok’ Janggut yang merupakan anak jati negeri Kelantan ini.Walaupun tidak sepopular seperti Tunku Abdul Rahman yang dikenali sebagai bapa kemerdekaan Malaysia tetapi jika dibandingkan jasa beliau lebih besar dari orangnya.
Merdekakah kita?
Jika diteliti maksud kemerdekaan sebenar seperti yang terkandung dalam kata-kata Rub’ie Bin A’mir ketika bertemu panglima Rom yang bernama Rustam,katanya ”Allah mengutuskan kami(orang-orang Islam),untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesame manusia kepadamengabdikan diri kepada Allah,daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.Rub’ie Bin A’mir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi Muhammad s.a.w bahawa penjajahan bukan sahaja berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum,tetapi ini juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.
Jika diteliti kata-kata ini kebenarannya memang tidak boleh di nafikan dan ini semua kita dapat lihat sebagaimana yang berlaku sekarang.Rata-rata umat Islam ditindas kerana hanya ingin mempertahankan agama Allah yang syumul ini,agama yang kebenarannya diakui dalam Al-Quran dan As-Sunnah.Akibat kerakusan manusia yang tidak berhati perut yang sentiasa menentang dan ingin menghapuskan agama Islam sejak dari zaman Rasullullah s.a.w lagi dan berterusan sehingga ke hari ini.Sedarkah kita sudah berapa ramai umat Islam yang di bunuh demi menegakkan kebenaran,di tangkap demi mempertahankan kedaulatan Islam,di keji dan di cerca sudah menjadi kebiasaan tetapi mereka tetap menggagahkan diri untuk terus berjuang,untuk terus bertahan walaupun nyawa terpaksa dikorbankan,untuk terus mara kehadapan walaupun anak isteri terpaksa di tinggalkan kerana bagi mereka dunia hanyalah persinggahan.
Penentangan terhadap umat Islam ini berterusan,yang paling teruk sekali adalah golongan Islam sendiri yang menjadi dalang kearah menjatuhkan Islam.Mereka berpura-pura beriman kepada Allah sedangkan hakikatnya hati mereka lari dari landasan sebenar.Ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami telah beriman." Dan bila mereka kembali kepada syaitan-setan mereka, mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok".Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka” Al-Baqarah 14-15.
Mungkin inilah puncanya jika undang-undang buatan sendiri diagungkan,undang-undang Allah s.w.t kita ketepikan,bila kebendaan dan wang ringgit menjadi taruhan,agama yang suci sanggup dilepaskan,yang lemah di tindas,yang kuat di muliakan.Merdekakah Kita?Adakah merdeka bererti kita boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu merujuk Al-Quran dan As-Sunnah?Adakah dengan merdeka kita boleh menghalalkan yang haram demi kepuasan hati dan nafsu sendiri?Soalan ini terserahlah kepada sahabat dan sohabiah semua untuk menjawapnya jika benar kita “merdeka”.Hanya ini peringatan yang mampu ku sampaikan kepada teman seperjuangan sekalian dan inilah tujuan Al-Quran diturunkan sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, maka janganlah ada kesempitan di dalam dadamu karenanya, supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu (kepada orang kafir), dan menjadi pelajaran bagi orang-orang yang beriman” Al-A’raf 2.
Sedarlah manusia,dunia semakin menghampiri ke penghujungnya,menanti “kemerdekaan” daripada Sang Penciptanya.Kemerdekaan yang hakiki dan kekal selamanya.Ayuh bangunlah,sedarlah dari di buai mimpi,bersamalah kita bersatu hati merungkai kembali masalah-masalah yang dihadapi.Usahlah kita menuding jari sesame sendiri,eloklah kita melihat kembali sejarah kebangkitan Islam disamping melihat dan meneliti peringatan-peringatan yang terkandung dalam Al-Quran Al-Karim yang telah menggariskan panduan sebenar untuk umat Islam kearah mencapai “KEMERDEKAAN” yang hakiki dan kekal abadi “disana” kelak.InsyaALLAH.
 

Erti Sebuah Perjuangan... Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template