Wednesday, August 26, 2009
Erti Persahabatan
Tahun depan genap 10 tahun persahabatan kita.Dan tanpa kita sedari telah banyak memori-memori indah yang telah kita rasai bersama dalam menuju redha-NYA.
Hari ini hari Rabu,aku akan berangkat ke Kaherah kerana ada urusan dan tanggungjawap yang aku perlu laksanakan.Sebelum pergi aku dan sahabatku yang tercinta sempat bergurau senda kerana aku terpaksa maninggalkannya.Memang kami berdua tidak pernah berenggang,dimana dia pergi,di situlah aku ada.Bermula dari sekolah menengah lagi,tidak hairanlah jika ramai yang cemburukan keakraban kami.Masakan tidak,persahabatan yang kami bina ini hampir mencecah usia ke-10 tahun dan berbagai-bagai memori indah,suka dan duka,hilau tawa telah kami layari bersama walaupun bagi orang lain ia bagaikan tiada apa-apa erti,tetapi bagiku ia terselit 1001 kenangan yang tidak mampu dinilai betapa berharganya nilai sebuah persahabatan,lebih-lebih lagi jika dibina berlandaskan Islam dan kerana Allah dan Rasulnya.Aku teringat sebuah hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik r.a pembantu Rasullullah s.a.w katanya:
“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri”.[Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menjadi pegangan kepada kami serta menjadi pengajaran kepadaku dalam melayari bahtera persahabatan.Sebelum ini aku tidak pernah mengenal erti sebuah persahabatan yang sebenar sehinggalah suatu hari aku dikejutkan dengan berita yang menyedihkan.
Tanggal 6-8-2009,hari Khamis,merupakan hari yang mungkin aku tidak dapat lupakan.Pukul 5 petang,aku menerima berita mengejutkan apabila seorang sahabatku dimasukkan ke wad dan mungkin akan di bedah akibat penyakit apendiks yang semakin parah.Saat mula-mula aku mendengarkan berita ini,tubuhku menjadi kaku,lidahku kelu tanpa bicara dan ketika inilah mutiara-mutiara putih membasahi pipiku.Masakan tidak sebelum aku meninggalkannya,dia sihat-sihat sahaja dan kami sempat bergurau senda,ini menjadi lumrah sepanjang kami bersama lagipun aku tidak pernah melihat tanda-tanda yang menunjukkan dia menghidapi penyakit ini.
Aku terpaksa pulang ke Dumyat semula walaupun masih penat kerana jika nak diikutkan tidak sampai sehari aku berada di Kaherah,penat perjalanan masih terasa tetapi aku menggagahkan diri untuk pulang menemani sahabatku.Bayangkan bagaiman perasaan kita jika disaat getir berperang dengan maut sendirian tanpa keluarga tercinta,tanpa teman disisi,sukar dibayangkan bukan?.Aku berterima kasih kepada Dewan Perwakilan Mahasiswa Dumyat(DPMD) yang menguruskan kemasukan sahabatku ke wad.Walaubagaimanapun,kegelisahan jelas terpancar pada wajahku,aku bagaikan hilang arah dan menjadi tidak senang duduk memikirkan tentang keadaan sahabatku.Kadang-kadang rasa bersalah bermain di benak fikiranku,kerana disaat dia memerlukan sokonganku,di saat itulah aku meninggalkannya.
Sepanjang 5 jam perjalanan,bermacam-macam doa telah aku pohon,dan telah banyak pesanan ringkas(sms) yang telah aku sebarkan kepada sahabat-sahabatku yang lain supaya mendoakan keselamatan sahabat kami yang tercinta ini sepanjang tempoh pembedahan dilakukan.Sepanjang perjalanan ini jugalah aku menerima hampir berpuluh-puluh panggilan yang memberikan semangat kepadaku,mendoakan sahabatku kerana mereka juga terkejut mendengarkan berita ini,Mungkin inilah yang dikatakan dalam hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang,kecintaan dan lemah lembut mereka seperti satu badan.Apabila satu anggota badan mengadu kesakitan,maka seluruh anggota turut menanggung kesakitan dan sama-sama berjaga malam”.[Hadis ini telah dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.]
Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua ahli Keluarga Pelajar Kelantan Mesir(KPKM) yang telah menunaikan solat hajat sebelum dan selepas pembedahan sahabat kami ini.Jasa kalian tidak mampu dibalas dengan kata-kata dan wang ringgit dan hanya Allah yang layak membalasnya “disana” nanti,InsyaAllah..
Sebulan telah berlalu,Alhamdulillah dengan izin Allah sahabat kami akhirnya sembuh,walaupun masih lagi tidak mampu melakukan kerja-kerja berat tetapi sudah mampu melemparkan senyuman gembira kepada kami,celotehnya yang tidak henti-henti menghilangkan keresahan kami semua.
Syukur tidak terhingga kepada Allah yang telah menyedarkan kami,jika tidak kerana musibah yang telah diturunkan ini kita masih lagi tidak menyedari betapa bernilainya seorang sahabat.Jagalah sahabat kita sebaik mungkin sebagaimana kita menjaga barang berharga yang kita sayangi sebaik-baiknya.Sahabat sejati memang sukar dicari,ia bagaikan sebutir permata dalam pecahan kaca,berhati-hati mendapatkannya,tersilap ambil berdarah jari,kalau dapat jagalah ia seperti nyawa kita,gilaplah ia agar sentiasa bercahaya.InsyaALLAH kita akan beroleh manfaatnya.
Nukilan khas untuk sahabatku yang dicintai,Mohd Fahzam Mohd Ghazi,moga dirimu cepat sembuh dan sentiasa berada dibawah payung Rahmat-Nya.InsyaALLAH….
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment